Monday, February 14, 2011

Di Sebalik Mesir


  Tanggal 11 Februari merupakan satu tarikh keramat bagi 80 juta warga Mesir setelah lebih 18 hari sebahagian dariapda mereka berkumpul secara aman di Dataran Tahrir, Suez, Alexandria dan Mansoura. 18 hari mereka berkumpul, meniggalkan kediaman, pekerjaan dan rutin harian mereka yang lain demi menggulingkan kezaliman, korupsi dan penindasan. Walaupun tanpa persediaan makanan, tempat tinggal, perubatan dan di bawah terik mentari serta ancaman polis anti-rusuhan, tetapi mereka tetap berteguh hati untuk menempa kejayaan. Apakah pencetusnya?  Kemiskinan, pengangguran, kezaliman sosial dan pencabulan kebebasan merupakan pendorong kepada mereka untuk perjuangan ini. Muhammad Bouazizi yang menjadi stimulus kepada warga Tunisia untuk berjuang dan berjaya menggulingkan diktatornya menyemarakkan api kemarahan yang sekian lama dipendam dalam jiwa setiap rakyat tertindas di Mesir. Kemenangan rakyat di Tunisia menunjukkan kuasa berada di tangan rakyat dan hanya api yang besar hasil gabungan seluruh lapisan rakyat mampu menggulingkan rejim yang zalim. 

  Penulis ingin mengajak pembaca untuk berfikir suatu perkara; apakah benar rakyat Mesir berjuang menentang kezaliman? Adakah melawan pemimpin yang zalim dan menegakkan keadilan  merupakan teras perjuangan mereka? Ataupun semata-mata  kerana api kemarahan kerana ditindas sekian lama? Bagaimana jika di bawah pemerintahan rejim Hosni Mubarak dahulu mereka mencapai kegemilangan ekonomi walaupun ditindas dari segi kebebasan politik dan rasuah bermaharajalela? Bagaimanakah keadaannya jika rakyat Mesir hidup senang dengan ramai golongan pertengahan seperti di Malaysia?
Adakah revolusi ini akan terjadi dan berjaya?

  Penulis bukanlah mahu merendah-rendahkan pencapaian rakyat Mesir dan mempersoalkan pendorong mereka, hanya Allah yang tahu apa yang berada di dalam benak hati mereka. Tetapi penulis hanya mahu kalian semua berfikir melangkaui apa yang terjadi sekarang. Benar, perjuangan mereka adalah ke arah kebaikan dan keadilan sejagat, tetapi apakah yang sepatutnya menjadi teras kepada perjuangan setiap manusia di muka bumi ini, terutamanya golongan Muslim. Apakah dasar yang menjadi perjuangan kita semua? Apakah perkara yang ingin kita tegakkan di muka bumi Allah ini? Mengapakah kita semua diturunkan di dunia penuh pancaroba ini? Apakah suatu jalan perjuangan yang kekal di dunia dan akhirat? Iaitu suatu perjuangan yang tidak akan mati dan padam walaupun dikurniakan kekayaan material, kekayaan ilmu, kebebasan penjajah atau pemimpin yang zalim dan kemakmuran sedunia. Apakah perjuangan itu? Wujudkah ia? Demokrasi, Republik, Sosialis, Komunis, ataupun Kapitalis?

Sahabat-sahabat yang kukasihi dan cintai, perjuangan tersebut ialah Islam, yakni menegakkan agama Allah di muka bumi.

  Perjuangan berdasarkan dan berteraskan Islam itu akan berterusan sehingga kiamat. Selagi ada kemungkaran di dunia ini, selagi ada manusia yang tidak tunduk kepada Allah SWT, selagi itulah perjuangan berasaskan Islam itu akan kekal. Setiap Rasul Allah yang terdahulu, dari Nabi Adam A.S sehinggalah yang terakhir, iaitu junjungan besar Rasulullah S.A.W, mereka membawa mesej yang sama. Mesej mereka ialah mengesakan Allah, tiada “ilah” selain Allah SWT, menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi, membawa keadilan Allah kepada manusia, menghapuskan kehambaan kepada makhluk dan menegakkan penghambaan hanya kepada Allah SWT. 

   Islam itu sebuah cara hidup yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia, oleh itu Islam haruslah diambil secara sepenuhnya, tiada kurang atau lebih. Bukan sahaja dalam aspek akidah dan ibadah, tetapi ia juga merangkumi akhlak, pemakanan, pakaian, ekonomi, pentadbiran, kepimpinan, pendidikan, keadilan sosial, kebebasan manusia, undang-undang dan sebagainya. Anda sebutlah apa sahaja aspek kehidupan manusia, Islam ada jawapannya.

  Maka, sebagai umat yang telah bersaksi bahawa tiada “ilah” selain Allah, apakah sepatutnya menjadi dasar perjuangan kita kalau bukan pembentukan masyarakat yang betul-betul berpegang teguh dengan kalimah “LailahaillAllah”, yakni pembentukan sebuah masyarakat Islam. Sebuah masyarakat yang berfungsi atas jalan atau landasan yang ditunjukkan oleh Allah SWT melalui kekasihNya Muhammad S.A.W. Setiap aspek masyarakat itu tidak terputus dari jalan Allah SWT, dari hal yang sekecil pembentukan individu sehinggalah pemerintahan negara. Bukanlah kejayaan material, kekayaan duniawi atau kemajuan bidang sains semata-mata yang didambakan masyarakat ini, tetapi tegaknya agama Allah itulah yang ingin dikecapi.

   Ini tidak bermaksud material, kekayaan dan sains harus diabaikan, tidak sama sekali, bahkan ia adalah Fardhu Kifayah. Doktor, guru, ahli ekonomi, peniaga, hakim, polis, tentera, pentadbir-pentadbir, pekerja kilang dan sebagainya merupakan ramuan yang amat penting untuk sesebuah masyarakat itu berfungsi. Tanpa mereka, akan gagal dan hancurlah masyarakat itu dan Islam akan dilihat sebagai punca kegagalan manusia seperti apa yang terjadi sekarang. Negara yang kononnya mengamalkan syariat Islam seperti Taliban di Afghanistan telah gagal menghayati tuntutan sebenar Islam, ia bukan sekadar masjid dan hudud, tetapi ia jauh lebih luas daripada itu. Mereka bukanlah “ekstremis Islam” yang sebenar, kerana mereka gagal memenuhi tuntutan pembentukan masyarakat yang jauh melangkaui hudud dan syariah. Kitalah “ekstremis” yang sebenar jika kita memperjuangkan penerapan Islam dalam seluruh aspek kehidupan manusia.

  Berbalik kepada Mesir, ramai anak muda di Malaysia yang cemburu dan ingin berdemonstrasi bersama-sama mereka atas dasar solidariti. Ramai juga yang bertanya apakah yang mereka boleh lakukan untuk membantu atau tanda sokongan kepada Mesir . Malah ada juga yang mengatakan, “Malaysia ini aman dan makmur, maka apakah perlu ktia berjuang?”. 

   Tetapi sedarkah kita yang selama ini kita mempunyai masalah besar yang tersendiri. Sudahkah kita memenuhi tuntutan “amar makruf, nahi mungkar”? Sudahkah terbentuknya masyarakat Islam di dalam diri kita, keluarga kita, ataupun negara kita? Apakah yang menjadi “ilah” kita selama ini; wang,isteri, pangkat, darjat ataupun Allah SWT? Sejauh manakah cinta kita kepada Allah SWT, Rasulullah S.A.W dan Islam? Sedarkah kita bahawa kita berselubung di dalam “Jahiliyah Moden” selama ini?
Maka apakah yang harus kita lakukan?                       
             
  Kembalilah kepada Islam. Mulakanlah dengan diri sendiri dahulu sebagaimana wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW;
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-Alaq; ayat 1-5)

  Wahyu ini menandakan permulaan kenabian baginda S.A.W, dimana baginda S.A.W disuruh membaca untuk dirinya sendiri dan belum disuruh menyampaikan untuk orang lain. Kemudian barulah turun ayat “wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan!”
(Al-Muddatsir; ayat 1-2)

  Ayat ini mengangkat Muhammad S.A.W sebagai Rasul dan utusanNya. Baginda kemudian disuruh menyampaikan ancaman keapda kaum keluarganya yang terdekat, diikuti seluruh kaumnya, kemudian kepada orang-orang Arab disekelilingnya, terus kepada seluruh bangsa Arab dan umat manusia.

  Maka kita boleh mengambil pengajaran daripada cara Allah mengutus Rasulullah S.A.W. Begitulah jua dengan kita sebagai khalifah di muka bumi ini, mulakanlah dengan memperkasakan diri sendiri dahulu, bacalah buku, bacalah Al Quran, tingkatkan pengetahuan, hadirilah majlis-majlis ilmu dan letakkan matlamat yang jelas dalam hidup ini, iaitu;
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepada-Ku”
(Ad-Dzariyaat; ayat 56)

  Menegakkan Islam itu ibadah, bekerja kerana Allah itu ibadah, berdakwah itu ibadah, berjihad melawan nafsu itu ibadah, bahkan semua perkara di dalam hidup ini dalah ibadah jika dilakukan dengan niat hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, walaupun dengan bermain futsal sekalipun!

  Setelah itu, sebarkanlah risalah Islam kepada yang terdekat dahulu. Mulakanlah dengan rakan sebilik, rakan serumah, rakan sekuliah, kemudian apabial pulang ke kampugn halaman, ajaklah adik-beradik dan kaum keluarga untuk menghayati Islam yang sebenar, yakni bersifat menyeluruh, bukan setakat di dalam masjid sahaja. Inilah jihad kita, janganlah mudah berputus asa kerana yakinlah bahawa kita di jalan yang benar!

‎"orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir itu berperang di jalan taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah."
(An-Nisa' : 76)

  Kita juga mempunyai Al-Quran, benar, tampak sukar untuk menguasai segala-galanya, tetapi tanamkanlah sifat sabar dan “istiqamah” dalam diri masing-masing untuk menghadapi keberatan ini, gunakanlah kemampuan yang ada.
“Dan Al-Quran (Kami turunkan)  beransur-ansur agar engkau(Muhammad) membacakannya keapda manusia perlahan-lahan dan Kami menurunkannya secara bertahap.”
(Al-Isra’; 106)

  Bacalah Al-Quran itu perlahan-lahan, ambil masa untuk menghayati kandungannya dan beramal dengannya sedikit demi sedikit, kalimah demi kalimah, ayat demi ayat, surah demi surah dan seterusnya keseluruhannya. Inilah pegangan kita, inilah yang kita ada selain Sunnah Rasulullah S.A.W sebagai dasar perjuangan ktia, baik di dunia mahupun akhirat.

  Percayalah bahawa penentangan kezaliman, penindasan orang miskin, kezaliman sosial, kepincangan akhlak, korupsi, dan macam-macam lagi sebab untuk berjuang itu sudah termaktub dalam Islam. Maka pilihlah Islam sebagai teras perjuangan kita semua, selama-lamanya.

Berjuanglah di jalan Allah, ada dua pengakhirannya; menang, ataupun syahid!